suria

Akta Baru Ganti ISA Perlu Pelihara Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR: Penggubalan akta baru berikutan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk tempoh tahanan dan hak membawa kes ke mahkamah bagi memastikan ia tidak melanggar hak asasi manusia, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Selain menyifatkan tempoh tahanan 60 hari pada masa ini sebagai terlalu lama, beliau berkata Pemuda Umno juga pernah mengusulkan supaya setiap tahanan diberikan hak mendapatkan khidmat peguam serta hak untuk membawa kes ke mahkamah supaya kes mereka dapat disemak semula.

"Kalau semua faktor ini dapat dimasukkan saya percaya rakyat Malaysia akan terima baik (akta baru).

"Pada masa sama walaupun keselamatan negara dan rakyat akan dilihat lebih terjamin tetapi harus dipastikan juga hak asasi (tahanan) dipelihara," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Merdeka Raya Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini, Khamis.

Khairy berkata akta baru itu juga perlu mempunyai definisi spesifik yang memperinci secara jelas siapa yang boleh ditahan di bawah akta berkenaan.

"Ia tidak boleh meliputi semua, mesti spesifik misalnya kegiatan berkaitan pengganas, kegiatan subversif yang menjejaskan keselamatan negara. Definisi ini kena khusus, takut orang kata akta baru ini hanya benda lama dalam botol baru," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata Pemuda Umno akan melaksanakan siri penerangan di peringkat dalaman sayap itu bagi menjelaskan keputusan kerajaan untuk memansuhkan ISA seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kita kena beri penerangan kepada ahli agar mereka faham keputusan itu. Mungkin ada pihak yang menganggap ISA penting untuk keselamatan negara, jadi kita harus jelaskan bahawa walaupun ISA dimansuhkan, keselamatan negara tidak akan terjejas," katanya.

Katanya, beliau yakin jika semua anggota peringkat tertinggi parti dapat bersama-sama memainkan peranan dan memberikan penjelasan, anggota parti akan dapat menerima baik transformasi yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain