suria

Umno Gagal Permohonan Jadi Pencelah

KUALA LUMPUR: Umno pada Khamis, gagal untuk menjadi pencelah dalam satu permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas setiausaha bahagian parti tersebut bagi mencabar keputusan yang dibuat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Abang Iskandar Abang Hashim juga memerintahkan Umno yang memfailkan permohonan itu menerusi Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab Rauf Yusof untuk menjelaskan kos sebanyak RM3,000 kepada bekas setiausaha Umno Bahagian Tanah Merah, Amran Abdul Rahman. Pada penghakimannya, Abang Iskandar menolak permohonan tersebut selepas berpuas hati bahawa Umno tidak terlibat secara langsung dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Amran dan pihak yang terlibat hanyalah ROS selaku responden.

Selain itu, Abang Iskandar yang merujuk kepada satu kes terdahulu berpendapat, Umno telah tersilap apabila memfailkan permohonan untuk mencelah mengikut Aturan 15 (6) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 sedangkan ia seharusnya dilakukan mengikut Aturan 53 (8) kaedah yang sama.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun semasa ditemui berkata, beliau akan menasihatkan anak guamnya untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Amran, 47, diwakili oleh peguam Ragunath Kesavan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili ROS.

Amran yang dipecat daripada jawatan tersebut pada 25 Februari 2010 kerana melanggar Perlembagaan Umno memfailkan permohonan semakan kehakiman itu terhadap ROS pada 7 Jun lalu.

Beliau mendakwa ROS telah menolak surat permohonannya bertarikh 6 September 2010 agar dibekalkan dokumen mengenai penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Umno Kelantan, 14 bahagian Umno dan 131 cawangan Umno Bahagian Tanah Merah.

Amran yang dipecat kerana memulakan tindakan mahkamah terhadap Umno juga mendakwa, dia sekali lagi menghantar surat permohonan yang sama tetapi turut ditolak pada 10 Mei lalu.

Beliau mendakwa dirinya mempunyai hak untuk mendapatkan dokumen tersebut bagi membolehkannya mencabar tindakan parti yang telah memecatnya.

Umno menerusi Ab Rauf pula memfailkan permohonan untuk mencelah pada 19 Julai lalu atas alasan semakan kehakiman yang difailkan Amran melibatkan perihal parti tersebut. Sementara itu, Ragunath memberitahu, mahkamah menetapkan 15 Oktober depan untuk mendengar semakan kehakiman tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain