suria

Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan Dekat Rompin

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres di Km117.1 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin pada Rabu.

Mangsa yang maut ialah Siti Khatijah Muhammad, 46, yang memandu kereta Nissan Frontier itu, ibunya Fatimah Abd Rahman, 65, dan anak Siti Khatijah, Nor Natasha Alias, 14.

Mereka berasal dari Kampung Laklok, Besut, Terengganu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian itu berlaku pada pukul 7.45 malam ketika mereka dalam perjalanan dari arah Segamat menuju Kuantan.

Menurut beliau, kenderaan mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan Toyota Hilux yang datang dari arah hadapan.

"Ekoran pertembungan itu, kenderaan yang dinaiki mangsa sekeluarga merempuh pula sebuah bas ekspres yang berada di belakang Toyota Hilux terbabit.

"Siti Khatijah dan ibunya yang duduk di bahagian hadapan kereta meninggal di tempat kejadian manakala anak Siti Khatijah meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum dituntut bagi urusan pengkebumian.

Mohamed Fauzi berkata kesemua 24 penumpang bas ekspres dan pemandu Toyota Hilux berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau turut berkata ketika kejadian, keadaan jalan agak licin disebabkan hujan lebat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain