suria

Polis Terus Operasi Banteras Kegiatan Judi Haram Di Melaka

MELAKA: Polis menahan 83 orang yang terlibat dalam kegiatan mesin judi berkomputer di Melaka dalam tempoh 25 Julai hingga Khamis, kata Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye.

Beliau berkata antara yang ditahan dalam 43 serbuan polis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan itu ialah pengendali premis perjudian dan pelanggan.

"Saya menafikan polis tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan mesin judi berkomputer kerana tindakan itu dapat dilihat melalui statistik penangkapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Chuah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebut penduduk negeri ini melahirkan kebimbangan dengan kewujudan pusat perjudian haram yang didakwa tumbuh membiak bagai cendawan di negeri ini tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Beliau berkata polis sentiasa bekerjasama rapat dengan kesemua empat PBT di Melaka dalam membanteras aktiviti perjudian itu.

Satu mesyuarat bersepadu disertai polis, empat PBT di negeri ini dan beberapa jabatan kerajaan berkaitan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Omar Kaseh diadakan hari ini bagi membincangkan strategi yang lebih berkesan untuk membanteras kegiatan perjudian, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain