suria

Polis Buru Tiga Lelaki Arab Bantu Kes Pecah Rumah

KAJANG: Tiga lelaki dipercayai berketurunan Arab yang terlibat dalam kes pecah rumah di Seksyen Lima, Bandar Baru Bangi di sini, Rabu, kini diburu polis setelah berjaya meloloskan diri selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri.

Kenderaan yang dinaiki kesemua suspek dalam lingkungan 30-an itu melanggar sebatang pokok ketika cuba melarikan diri selepas dikejar jiran kawasan perumahan yang menyedari ada kegiatan pecah rumah berlaku di sebuah rumah teres.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kejadian pada kira-kira 7.30 petang itu disedari oleh jiran mangsa apabila terdengar penggera keselamatan di rumah mangsa berbunyi ketika mangsa tiada di rumah.

"Rasa curiga dengan bunyi alarm itu, jirannya keluar ke rumah mangsa dan melihat kelibat tiga lelaki yang tidak dikenali di dalam rumah tersebut sebelum memaklumkan kepada jiran lain," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Menyedari kehadiran empat orang jiran yang cuba mengepung rumah mangsa, kesemua suspek bertindak melarikan diri melalui pintu belakang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Pesona berwarna hitam.

"Jiran mangsa mengejar suspek dengan menaiki kereta sejauh 500 meter. Malangnya kereta suspek hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah pokok dan kesemua suspek berjaya melarikan diri," katanya dan suspek telah meninggalkan kenderaan mereka di situ.

Mangsa, 39, tiba di rumahnya tidak lama selepas kejadian itu dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berhubung kes berkenaan.

Abdul Rashid berkata siasatan mendapati mangsa kehilangan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Polis bagaimanapun tidak menjumpai sebarang senjata tajam atau peralatan yang digunakan untuk pecah rumah itu selepas melakukan pemeriksaan terhadap kereta yang digunakan suspek.

Polis percaya kereta itu disewa oleh suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah dan sedang mengesan pemilik kereta tersebut. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Abdul Rashid juga tidak menolak kemungkinan kesemua suspek mempunyai kaitan dengan kes-kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Kajang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain