Pakatan Rakyat Akhirnya Setuju Sertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen - Semasa | mStar

Pakatan Rakyat Akhirnya Setuju Sertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang pada Rabu akhirnya bersetuju menyertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang bertanggungjawab menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiga wakil dari pakatan pembangkang dalam jawatankuasa itu akan ditentukan bersama-sama oleh PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang dilaporkan berdolak-dalik mengenai penyertaan mereka dalam jawatankuasa itu dengan pelbagai alasan termasuk mempersoal komposisi anggota yang disifatkan mereka tidak adil.

Malah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pembangkang tidak mahu menyertai jawatankuasa berkenaan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memenuhi harapan mereka.

Anwar pada persidangan berita di sini berkata keputusan yang dibuat oleh majlis pimpinan pakatan pembangkang untuk menyertai jawatankuasa khas terpilih itu adalah bagi memastikan wakil mereka dapat membawa cadangan pakatan pembangkang yang menuntut pilihan raya yang bersih, iaitu reformasi keseluruhan proses dan pelaksanaan pilihan raya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarangan maklumat rasmi mengenai usul penubuhan jawatankuasa itu yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 3 Oktober ini.

Pada 15 Ogos lepas, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha menambah baik proses pilihan raya serta memperkukuhkan undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang menteri dan dianggotai oleh sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Nurul Izzah Yakin Bapa Tidak Bersalah

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain