suria

MB Selangor Nafi PKNS Jual Tiga Aset

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis menafikan laporan media kononnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menjual tiga asetnya.

Beliau berkata sebaliknya kesemua aset itu kini dilibatkan dalam Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan ini adalah perkara biasa yang banyak dipraktikkan oleh syarikat lain di negara ini.

Justeru itu, katanya, tidak timbul isu PKNS menjual tiga asetnya iaitu Kompleks PKNS dan SACC Mall di sini serta Menara PKNS di Petaling Jaya seperti yang dilaporkan sebuah akhbar dan sebuah laman web baru-baru ini.

"Ini kerana anak syarikat kerajaan negeri itu masih lagi terbabit secara langsung dalam pengurusan kesemua aset berkenaan.

"Ini bukan penjualan, ini adalah REIT iaitu Amanah Pelaburan Hartanah yang bermakna tarik pelaburan kemudian jual, kadang-kadang orang tidak faham sebab REIT ini hanya tak sampai 10 tahun ada (di Malaysia) dan sekarang Malaysia adalah pusat REIT berasaskan Islam.

"Saya dulu ketika bersama Guthrie ada guna (REIT) untuk pembelian ladang di Indonesia. Jadi kalau orang tidak faham dia ingat macam jual," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, Khamis.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKNS, berkata kesemua aset itu dalam proses transformasi penjanaan pendapatan melalui pelaburan REIT menerusi kerjasama strategik PKNS dan Amanah Raya.

Selain pengambilalihan itu, PKNS juga melalui satu surat bertarikh 12 Sept 2011 kepada penyewa Kompleks PKNS Shah Alam akan menaikkan kadar sewa premis di pusat komersial itu termasuk akan menamatkan sewaan kepada peniaga yang kurang berdaya saing.

Ketika ditanya sama ada tindakan PKNS itu akan memberi kesan kepada kadar sewaan premis di tiga aset berkenaan, Abdul Khalid berkata perubahan kadar sewaan itu tidak ada kena mengena dengan urusniaga antara PKNS dan syarikat pelaburan amanah terbabit.

"Kadar sewaan premis kepada peniaga bergantung kepada permintaan dan penawaran. Sewa ini tidak ada kena mengena dengan urusniaga REIT...kalau sewa tak betul, kita betulkan sewa ini atas nama perniagaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain