suria

Masalah Pusat Perjudian Haram Perlu Ditangani Secara Bersama - Khalid

JOHOR BAHARU: Masalah pertumbuhan pusat-pusat perjudian haram perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, adalah tidak adil jika penguatkuasaan terhadap pusat judi haram hanya diletak di bahu pasukan polis kerana pengeluaran lesen terutamanya terhadap pusat kafe siber adalah oleh PBT.

"Masalah ini perlu ditangani bersama, bukan sahaja PDRM (Polis Diraja Malaysia) tetapi PBT dan semua pihak. Semua pihak perlu tangani masalah ini dan cari jalan bukan sahaja kuat kuasa undang-undang tetapi juga memberi kesedaran tentang keburukan judi," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke pangkalan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua di Tampoi. Turut sama adalah Ketua Polis Negeri Datuk Mokhtar Shariff. Khalid berkata demikia n sebagai mengulas laporan media hari ini tentang kewujudan berleluasa pusat-pusat judi haram di kafe-kafe siber di Melaka tanpa penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Melaka untuk berunding dengan PBT di semua daerah di Melaka bagi mencari jalan untuk menangani masalah terbabit secara bersama. "Polis tidak keluarkan lesen. Lesen dikeluarkan oleh PBT," katanya sambil mengakui kewujudan kafe-kafe siber di negara ini ibarat cendawan tumbuh.

Sementara itu beliau berkata PDRM akan mengkaji semula penugasan PGM berikutan pengambilalihan tugas-tugas agensi itu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Berikutan pengambilalihan tugas PGM oleh APMM, katanya cabang PDRM itu kini bertugas menguatkuasakan undang-undang negara di kawasan sungai, pulau, tasik dan pelabuhan. "Kita perlu merangka skop penugasan (PGM) dan lihat kembali prosedur operasi standard dalam laksana tugas kita," kata beliau dan menambah kajian semula itu akan melibatkan semua pihak di dalam PDRM. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain