suria

CEO Radio 24 Sheikh Raffie Letak Jawatan

Sheikh Raffie Abd Rahman
Sheikh Raffie Abd Rahman
Sheikh Raffie Abd Rahman

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Radio24 Bernama, Sheikh Raffie Abdul Rahman mengesahkan telah meninggalkan stesen radio berita 24 jam pertama negara itu pada 20 September lalu.

Sheikh Raffie berkata, pengundurannya daripada jawatan itu adalah kerana mendapat tawaran di sebuah stesen televisyen yang lebih kepada minat sebenarnya.

"Sudah tiba masanya saya memajukan diri setapak lagi dan melakukan sesuatu yang sememangnya minat saya sejak dulu.

"Tawaran di sebuah stesen televisyen adalah peluang besar buat saya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai tawaran yang diterimanya, Sheikh Raffie berkata, walaupun sedih meninggalkan dunia penyiaran radio, beliau yakin Radio24 telah berada di tahap baik dari segi kredibiliti, kejayaan kandungan dan penerimaan pendengar untuk terus maju ke hadapan.

"Saya bersyukur atas apa yang telah saya bina selama empat tahun bersama Radio24 dan saya berharap apa yang saya tinggalkan sejak mula akan dapat diteruskan dengan kepimpinan baru nanti," katanya.

Sheikh Raffie juga menyifatkan kakitangan Radio24 berdedikasi dan mahir menjalankan tugas.

Beliau yakin stesen berita pertama itu akan lebih menyerlah pada masa akan datang.

Sebelum memegang jawatan di Radio 24, Sheikh Raffie pernah berkhidmat dengan beberapa stesen televisyen utama di negara ini.

Beliau juga pernah bertugas di Channel News Asia (CNA) yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai program bual bicaranya sendiri di CNA berjudul 'The Lines.

Di samping itu, Sheikh Raffie juga adalah individu yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan beberapa program televisyen terkenal seperti Edisi Siasat (NTV7), Akademi Al-Quran (TV9), Tiga Pagi(TV9) dan program santai 3 Hari 2 Malam (TV9).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain