suria

Video Seks Versi Baru: Polis Akan Buka Kertas Siasatan

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan membuka kertas siasatan baru berhubung klip video seks versi baru yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana telah dimuatnaik pada Selasa di beberapa laman blog termasuk papagomo.com.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagaimanapun berkata, ia hanya akan dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengenai perkara itu.

"Kita perlu meneliti rakaman itu sebelum membuat siasatan baru.

"Prosedur siasatan yang sama akan dilakukan seperti kes (video seks dikaitkan dengan Anwar) sebelum ini bagi proses pendakwaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Facebook PDRM dan Pelancaran Twitter PDRM di sini, Rabu.

Beberapa laman blog termasuk papagomo.com pada Selasa menyiarkan klip video berdurasi 16 minit 16 saat yang memaparkan adegan seks seorang lelaki yang didakwa mirip Anwar bersama wanita Cina.

Klip video tersebut dengan jelas menunjukkan aksi seks kedua-dua individu terbabit tanpa sebarang tapisan.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini peminat Facebook rasmi PDRM mencecah seramai 85,000 orang.

"Facebook rasmi PDRM yang dilancarkan pada 21 September 2010 merupakan sebagai satu aktiviti kemasyarakatan PDRM.

"Melalui alam siber, Facebook PDRM juga bertindak sebagai wadah merapatkan jurang komunikasi dan mengikis persepsi negatif terhadap PDRM," katanya.

Mengenai Twitter PDRM, Ismail berkata, ia merupakan antara platform media sosial yang digunakan untuk menyalurkan maklumat dan hebahan terus kepada masyarakat dengan cepat, tepat dan ringkas.

"Twitter PDRM juga akan menjadi medium untuk mengetengahkan berita semasa PDRM seperti kejayaan tangkapan, program bersama masyarakat serta kenyataan atau siaran media oleh pucuk pimpinan.

"Ini termasuk hebahan umum seperti aktiviti PDRM yang akan dan sedang dijalankan serta laporan kesesakan lalu lintas secara harian terutama pada waktu puncak di laluan-laluan utama seluruh Malaysia," katanya.

Artikel Lain