suria

UUM Anugerah Ijazah Kehormat Kepada Sanusi, Rafidah

ALOR SETAR: Dua bekas menteri iaitu Tan Sri Sanusi Junid dan Tan Sri Rafidah Aziz akan menerima ijazah kehormat daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-24 universiti itu bermula 1 Okt ini.

Bercakap pada sidang media di sini pada Rabu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Sanusi, 68, yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan juga bekas Menteri Besar Kedah (1996-1999) akan dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Politik dan Pembangunan, manakala Rafidah, 68, yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Perdagangan Antarabangsa.

Mohamed Mustafa berkata penganugerahan ijazah kepada dua pemimpin terbabit akan disempurnakan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Canselor UUM pada 1 Okt ini.

Katanya konvokesyen kali ini juga menyaksikan bilangan graduan teramai dalam sejarah UUM iaitu 8,556 orang termasuk 69 penerima ijazah doktor falsafah (PhD) dan 1,887 graduan ijazah sarjana.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hampir 10 peratus adalah penuntut asing dari 41 negara iaitu 43 penerima PhD, 302 graduan ijazah sarjana dan 450 orang menerima ijazah sarjana muda.

"Pesta konvokesyen kali ini pula adalah yang terpanjang bermula 28 Sept hingga 7 Okt bagi meraikan jumlah graduan yang ramai," katanya.

Seramai 162 graduan ijazah sarjana muda lulus kelas pertama dan 214 orang terpilih menerima pelbagai anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, katanya.

Beliau juga berkata berdasarkan pencapaian sebelum ini, kira-kira 75 peratus graduan UUM berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian. - BERNAMA

Artikel Lain