suria

Tipu Beli Tanah: Dua Pengusaha Kayu Balak Dipenjara Dua Tahun

KUALA LUMPUR: Dua pengusaha kayu balak pada Rabu dipenjara dua tahun dan dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana menipu seorang pengarah syarikat berhubung pembelian tanah pada 2009.

Sementara itu seorang lagi, jurulatih golf pula dikenakan hukuman penjara 15 bulan dan dikenakan empat sebatan atas kesalahan yang sama.

Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap dua pengusaha kayu balak terbabit, Kok Lai Heng dan Low Khim Seong serta jurulatih golf R Jayasankar selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu pada akhir kes pembelaan.

Kok, 39, Low, 43 dan Jayasankar, 44 didakwa bersama-sama menipu Chan Weoi Koon, 36, dengan memperdayakan beliau bahawa sebidang tanah di GM119 Lot 833 Sungei Penaga Mukim Damansara Petaling ingin dijual oleh pemiliknya.

Menurut kertas pertuduhan, ia menyebabkan Chan menyerahkan sekeping cek UOB Bank bertarikh 20 Mei 2009 berjumlah RM73,500 kepada seorang lelaki lain Wee Wan Heng, 39, yang bertindak sebagai agen.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pejabat Tam & Faizal Advocates & Solicitors, Unit 1-10 1st Floor Straits Trading Building 2 Leboh Pasar Besar, di sini, pada 10 Jun 2009.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Low dan Jayasankar diwakili peguam P Krishnan manakala Kok diwakili peguam S.S Seelan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya P Viknesvaran.

Sementara itu, Komathy membenarkan permohonan kedua-dua peguambela bagi menangguhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu rayuan dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin setiap seorang. -BERNAMA

Artikel Lain