suria

Pengarah Jab. Tanah Sabah Jelaskan Isu Cadangan Jual 3 Pulau

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melindungi kepentingannya dalam isu cadangan menjual tiga buah pulau di perairan negeri ini kepada orang asing menerusi iklan internet.

Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Osman Jamal berkata, kerajaan negeri sememangnya mengetahui iklan penjualan tiga pulau berkenaan iaitu - Mengalum, Pandanan dan Montukod tetapi tidak boleh menghalangnya kerana pulau-pulau berkenaan adalah milik persendirian.

"Bagaimanapun, pemilik pulau mesti terlebih dahulu mendapat kelulusan Pemungut Hasil Tanah sebelum boleh menjual tanah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya anjuran Bahagian Akhbar dan Penerbitan Jabatan Ketua Menteri di Wisma Innoprise di sini. Osman diminta mengulas iklan yang dikatakan untuk menjual pulau-pulau tersebut menerusi pusat pasaran talian terus yang berpangkalan di Toronto, Kanada.

Sebuah akhbar tempatan semalam dipetik melaporkan bahawa Pulau Mengalum yang terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga AS$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) AS$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga AS$11.266 juta.

Osman berkata, Pulau Mengalum adalah milik sebuah syarikat dengan hak milik pajakan negara (CL), Montukod adalah hak milik pajakan negara dan peribumi manakala Pandanan diberi secara hak milik CL.

Katanya, kedua-dua pulau Montukod dan Pandanan adalah milik individu persendirian. - BERNAMA

Artikel Lain