suria

Mampukah SNAP Terus Kekal?

KUALA LUMPUR: Apakah yang bergolak dalam Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), parti politik tertua di Sarawak yang kini melalui satu tempoh yang penuh dengan persoalan?

Bagaimanakah masa depan parti ini yang dijadual mengadakan Perhimpunan Agung tiga tahun sekalinya selama dua hari di Kuching pada 24 dan 25 Sept ini?

Ramai penganalisis politik sudah pun membenamkan masa depan SNAP di persada landskap politik Sarawak kerana mereka percaya parti itu tidak akan mampu bangkit kembali kepada kegemilangannya seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.

"Pada asasnya parti ini sudah habis. Ia berada di penghujung jalan. Berhadapan isu penjenamaan dengan dana menjadi masalah paling besar.

"Sebelum ini urusan berkenaan dibiayai oleh pemimpin tertinggi yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Tetapi kepimpinan sekarang berdepan kekangan kewangan untuk menjayakan maksud tersebut," demikian menurut seorang penganalisis politik, James Chin kepada Bernama.

Berasal dari Sarawak, Chin yang menjadi pensyarah di Universiti Monash cawangan Sunway, menyatakan sebelum pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, masih ada harapan bagi SNAP untuk pulih dengan mendapat sokongan peringkat tertentu tetapi keputusan pilihan raya itu telah membuktikan sebaliknya.

"Keputusan pilihan raya itu pada asasnya menunjukkan parti itu tidak lagi relevan," katanya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, daripada sejumlah 672,667 (68.66 peratus) pengundi berdaftar yang keluar mengundi pada 16 April, SNAP yang bertanding di 26 kerusi hanya memperoleh keseluruhannya 15,663 (2.33 peratus) undi. Parti itu gagal memenangi sebarang kerusi manakala kebanyakan calonnya telah hilang wang pertaruhan mereka.

Seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata walaupun parti itu berjaya membalikkan tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan pendaftarannya, tindakan sedemikian telah banyak memberi kesan ke atas SNAP.

SNAP, yang ditubuhkan pada 10 April 1961 telah dibatalkan pendaftarannya oleh ROS pada 2002. Parti itu menang dalam rayuannya tahun lepas apabila Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan pendaftar pertubuhan itu.

"Lapan tahun bergelut di mahkamah terus melemahkan parti itu. Akibat pendaftarannya dibatalkan, mereka hilang sokongan di peringkat akar umbi. Perjuangan selama lapan tahun ini adalah tempoh yang panjang dan ini engakibatkan parti ini sukar pulih semula. Inilah sebab mereka kalah teruk dalam pilihanraya negeri," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkongsi pandangan bahawa masa depan parti itu dalam politik Sarawak sudah tidak ada kerana ia telah kehilangan tarikan mendapat sokongan terutama sekali di kalangan masyarakat Iban yang lebih banyak menyokong parti berasaskan dayak yang lain.

"Tidak nampak langsung cahaya di hujung terowong. SNAP tidak punya masa depan lagi dalam politik Sarawak. Masalahnya kepimpinan parti ini masih lagi bermain politik cara lama dengan strategi lapuk di tengah-tengah suasana politik yang berubah. Mereka tidak lagi dapat menarik sokongan orang ramai," katanya.

Bukan itu sahaja sesetengah anggota parti itu sudah merungut tidak mengetahui langsung tentang petanda hala tuju parti itu sekarang yang sokongan terhadapnya begitu merosot sekali selepas pilihan raya negeri yang lepas.

Sesetengahnya malah bertanya sama ada parti itu yang diasaskan oleh Ketua Menteri pertama mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, masih lagi relevan dalam suasana politik hari ini.

Mereka mendakwa tidak seorang pun tahu sama ada parti itu mahu kekal sebagai pembangkang atau menjadi parti yang mesra dengan Barisan Nasional.

Setiausaha Agung SNAP, Edmund Stanley Jugol mengakui parti itu hanya akan tahu hala tuju masa depannya selepas Perhimpunan Agungnya hujung minggu ini, sama ada kekal sebagai pembangkang atau bersahabat dengan BN kerana barisan jawatankuasa barunya akan memutuskan perkara tersebut.

"Kita tidak boleh membuat sebarang keputusan sebelum Perhimpunan Agung itu kerana masih banyak perkara belum selesai. Tambahan pula ia bergantung pada jawatankuasa baru sementelah presiden sekarang (Edwin Dundang Bugak) pula berkata beliau mahukan golongan muda mengambil alih," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun Edmund Stanley mengesahkan satu pilihan yang pada SNAP adalah meninjau sama ada untuk berbaik dengan BN walaupun hanya di peringkat persekutuan atau kekal pada kedudukan kini sehingga tamatnya tempoh ketua menteri sekarang.

Seorang penganalisis politik di Institut Kajian Asia Timur UNIMAS, Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun percaya SNAP tidak mungkin diterima ke dalam B Nkerana persepsi bahawa parti itu sudah lemah.

"Apa yang diperlukan SNAP sekarang adalah seorang calon yang berwibawa, berkarisma dan dihormati oleh pihak pembangkang. Mereka juga perlu dilihat sebagai rakan politik yang baik tidak hanya di peringkat pemimpin tetapi juga di kalangan semua calon," kata beliau.

Katanya, BN Sarawak hanya mahukan sebuah parti yang boleh bersaing, pemimpinnya dihormati dan stabil yang pada masa sekarang parti itu tidak banyak memiliki pemimpin sedemikian.

Ramai penganalisis politik percaya pilihan terbaik bagi SNAP buat masa kini adalah melakukan transformasi terhadap kepimpinannya, menyusun semula semua cawangan parti, menghidupkan kembali sayap pemuda dan wanitanya.

Bagaimana belum pun semua ini dapat dilakukan, parti itu sudah berdepan dengan masalah baru menjelang berlangsungnya perhimpunan agung parti minggu ini.

Sudah ada dakwaan berlakunya politik wang dalam pemilihan jawatan presiden dengan laporan seorang anggota kanan parti berkata adanya calon tertentu menyogok sehingga RM3,400 bagi setiap perwakilan mengandungi tiket kapal terbang, bilik hotel, duit saku dan jamuan makan malam.

Setakat ini dua calon akan bertanding bagi jawatan presiden selepas penamaan calon ditutup pada 17 Sept lepas.

Artikel Lain