suria

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta kesan tembakan di kepala, dalam sebuah bilik hotel di Taman Sejati dekat sini tengah hari Selasa.

Mohd Nazir Ishak, 35, ditemui terbaring berlumuran darah di atas katil di sebuah bilik di tingkat tiga hotel berkenaan oleh kakitangan hotel yang masuk untuk memeriksa dan mengemas bilik itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad berkata polis menerima panggilan mengenai penemuan mayat lelaki yang hanya berseluar tanpa berbaju itu pada pukul 1.30 tengah hari.

"Semakan dari hotel itu mendapati lelaki itu mendaftar masuk seorang diri ke hotel berkenaan petang semalam dan sepatutnya dia keluar pada tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata polis mendapati tiada kesan pecah masuk pada pintu bilik dan tiada kesan bilik diselongkar, manakala barangan peribadi milik lelaki yang berasal dari Perlis itu didapati tidak hilang.

"Kami tidak menolak kemungkinan dia diserang oleh orang yang dikenalinya," katanya.

Mohd Zakaria berkata siasatan berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan mendapati terdahulu dua lelaki dan seorang wanita menaiki lif dikesan menuju ke bilik berkenaan. "Punca kejadian masih dalam siasatan dan polis menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat kes ini," katanya.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Lain