suria

Latihan Pendidikan Untuk Guru Agama Yang Lebih Tersusun Perlu Diwujudkan:Muhyiddin

KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu bentuk latihan pendidikan yang lebih tersusun khusus buat guru agama perlu diwujudkan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ia tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada aspek pelajaran agama sahaja, sebaliknya perlu ada pembaharuan dalam penyampaian pembelajaran.

Beliau berkata para guru di sekolah-sekolah agama juga perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang terkini, antaranya bidang teknologi maklumat.

"Untuk itu, Kementerian Pelajaran sedia menyediakan latihan dalam bidang itu kepada guru-guru agama, bagi meningkatkan sistem pendidikan di sekolah agama," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Guru-Guru Agama, Imam dan Bilal di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Marang dekat sini Selasa.

Menurutnya para pelajar sekolah agama juga perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat bagi memastikan mereka mempunyai peluang yang lebih luas dalam mencari pekerjaan daripada hanya tertumpu kepada bidang keagamaan.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran tidak akan meminggirkan sekolah-sekolah agama di seluruh negara kerana pendidikan yang menyeluruh akan memberi manfaat kepada semua pelajar di sekolah tersebut.

Katanya beliau berharap segala usaha dan penambahbaikan yang dibuat kementerian dari semasa ke semasa dapat meningkatkan tahap pendidikan negara, dan pada masa yang sama dapat melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Muhyiddin berkata guru bukan sahaja berperanan untuk mendidik, tetapi juga membentuk perwatakan seorang pelajar yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Sehubungan itu beliau meminta warga pendidik mencontohi sistem pengajaran di Korea Selatan yang menumpukan perhatian terhadap kecergasan minda seorang pelajar dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada bagaimana untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan bantuan sejumlah RM3.16 juta kepada semua sekolah agama di Terengganu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib Mohamad. - BERNAMA

Artikel Lain