Latihan Pendidikan Guru Agama Yang Lebih Tersusun Perlu Diwujudkan - Muhyiddin - Semasa | mStar

Latihan Pendidikan Guru Agama Yang Lebih Tersusun Perlu Diwujudkan - Muhyiddin

KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu bentuk latihan pendidikan yang lebih tersusun khusus buat guru agama perlu diwujudkan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ia tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada aspek pelajaran agama sahaja, sebaliknya perlu ada pembaharuan dalam penyampaian pembelajaran.

Beliau berkata para guru di sekolah-sekolah agama juga perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang terkini, antaranya bidang teknologi maklumat.

"Untuk itu, Kementerian Pelajaran sedia menyediakan latihan dalam bidang itu kepada guru-guru agama, bagi meningkatkan sistem pendidikan di sekolah agama," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Guru-Guru Agama, Imam dan Bilal di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Marang dekat sini, Selasa.

Menurutnya para pelajar sekolah agama juga perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat bagi memastikan mereka mempunyai peluang yang lebih luas dalam mencari pekerjaan daripada hanya tertumpu kepada bidang keagamaan.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran tidak akan meminggirkan sekolah-sekolah agama di seluruh negara kerana pendidikan yang menyeluruh akan memberi manfaat kepada semua pelajar di sekolah tersebut.

Katanya beliau berharap segala usaha dan penambahbaikan yang dibuat kementerian dari semasa ke semasa dapat meningkatkan tahap pendidikan negara, dan pada masa yang sama dapat melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Muhyiddin berkata guru bukan sahaja berperanan untuk mendidik, tetapi juga membentuk perwatakan seorang pelajar yang mempunyai jati diri yang tinggi.

Sehubungan itu beliau meminta warga pendidik mencontohi sistem pengajaran di Korea Selatan yang menumpukan perhatian terhadap kecergasan minda seorang pelajar dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada bagaimana untuk lulus dalam peperiksaan sahaja.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan bantuan sejumlah RM3.16 juta kepada semua sekolah agama di Terengganu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Yahya Khatib Mohamad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain

Harimau Muda pulang awal