suria

Jalur Gemilang: PPP & 4 NGO Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan empat badan bukan kerajaan pada Selasa membuat laporan polis terhadap anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah M. Manoharan berhubung isu Jalur Gemilang.

PPP, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia membuat laporan secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengah hari tadi.

Anggota Majlis Tertinggi PPP, Datuk Thajudeen Mohideen yang ditemui pemberita selepas itu berkata, parti tersebut berpandangan polis perlu mengambil tindakan terhadap Manoharan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

Katanya, PPP juga menuntut wakil rakyat DAP itu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

"Sekarang dia mahu tukar bendera, nanti akan minta tukar nama negara dan ianya akan berlanjutan jika tindakan tidak diambil. Manoharan mesti tampil ke hadapan dan meminta maaf," kata Thajudeen.

Pada 16 September lepas, Manoharan membuat kenyataan pada laman sosial Facebooknya bahawa beliau enggan mengibarkan Jalur Gemilang kerana bendera itu tidak menggambarkan Malaysia tetapi lebih kepada Barisan Nasional.

Manoharan juga membuat kenyataan akan menukar Jalur Gemilang dengan bendera lain sekiranya Pakatan Rakyat berpeluang memerintah negara ini selepas pilihan raya umum nanti. BERNAMA

Artikel Lain