suria

BN Perak Mahu Wakil Rakyat Tidak Dicalon Terima Keputusan

IPOH: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya umum akan datang diminta menerima perkara itu dengan hati terbuka demi masa depan parti, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menteri Besar Perak itu berkata mereka mesti menghormati ketetapan yang dibuat pucuk pimpinan mengenai kriteria calon yang bertanding adalah yang disukai, boleh menang dan mendapat sokongan pengundi di kawasan itu.

"Saya minta mereka pandang semula ke belakang dan lihat bagaimana orang lain membantu mereka untuk menang sebelum ini dan janganlah ada sikap iri hati.

"Sebelum mereka menang dan menjadi wakil rakyat mereka ini disokong dan dibantu orang lain dan saya harap tidak berlaku perkara sabotaj," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Dr Zambry berkata semua bekas wakil rakyat perlu mengambil pendekatan itu dan bekerjasama membantu calon baru untuk menang pada pilihan raya.

"Kita mahu bekas calon dan calon baru saling bantu membantu demi masa depan parti...Kita sudah kenalpasti beberapa calon di peringkat kawasan dan ada beberapa tempat lain dari segi kesesuaian," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry menolak kenyataan yang disebarkan pembangkang mendakwa pihaknya mempunyai masalah dalam pembahagian kerusi bagi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata BN mempunyai formula tersendiri dan pembahagian kerusi adalah melalui musyawarah dan persetujuan semua parti komponen.

"Dalam konteks kita, BN mempunyai persefahaman dari soal kuota dan di mana tempat bertanding...," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain