suria

Sisa Bahan Binaan Dibuang Di Kawasan Rizab Berhampiran Pulau Melaka

MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Melaka meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang membuang sisa bahan binaan di kawasan rizab berhampiran Pulau Melaka, di sini.

Ketua Penolong Pengarah PPSPPA Zainuddin Abdul Samad berkata perbuatan itu dikesan berlaku sejak tiga bulan lepas membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar.

"Sisa bahan buangan ini juga dikhuatiri akan menyebabkan ketidakstabilan ekosistem terutama jika ia terlepas ke Selat Melaka," katanya kepada pemberita selepas Operasi Pembersihan Bersepadu PPSPPA di Melaka Raya Fasa 2, di sini, Selasa.

Zainuddin berkata perbuatan itu juga dikhuatiri menjejaskan habitat spesies burung laut dan burung air yang diancam kepupusan serta dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

"Kita memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini dan akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan susulan," katanya.

Operasi tersebut turut melibatkan Southern Waste Management (SWM) Environment Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain