suria

MIC Sedia Bertukar Kerusi Dengan Parti Komponen BN Lain

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) belum mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang, namun MIC telah menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu dengan parti komponen BN yang lain.

Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan berkata sebarang pertukaran kerusi boleh dilaksanakan jika ada persefahaman dan persetujuan dari semua pihak yang berkepentingan.

"Kesediaan beberapa parti komponen BN seperti MIC dan MCA untuk bertukar kerusi menunjukkan sikap fleksibel mereka dan ini merupakan suatu berita yang positif," katanya semasa ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 di sini, Isnin.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, MIC diperuntukkan sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri dan telah menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri.

Mengenai keperluan mempertahankan kerusi tradisi oleh parti-parti komponen BN, katanya perkara itu tidak berbangkit.

"Saya tidak lihat ada sebab untuk mengusiknya jika kerusi tradisi yang dipegang sesebuah parti berpeluang tinggi untuk menang.

"Akan tetapi jika parti komponen BN tersebut mempamerkan prestasi yang hambar, dan di masa yang sama sebuah parti komponen BN lain dilihat berpotensi untuk menang di kerusi tradisi yang dimaksudkan, maka tidak ada alasan untuk parti komponen BN yang pamerkan prestasi hambar terus berpegang kepada kerusi berkenaan," katanya.

Beliau juga berkata sebarang percubaan untuk membangkitkan isu pengagihan kerusi antara parti komponen pada masa ini adalah juga bukan satu percaturan yang bijak.

Tindakan berkenaan hanya akan membuka ruang ketidaksefahaman dan memberi gambaran negatif terhadap parti-parti komponen, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain