suria

Lebih 300,000 Pekerja Asing Tanpa Izin Didapati Bekerja Dalam Sektor Yang Dilarang

PETALING JAYA: Lebih 300,000 pekerja asing tanpa izin (Pati) telah didapati bekerja dalam sektor-sektor yang dilarang oleh Kerajaan di bawah Polisi Pengambilan Pekerja Asing.

Di bawah polisi itu, warga asing hanya dibenarkan bekerja dalam lima sektor iaitu perusahaan/pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata 327,991 pekerja asing tanpa izin tidak berkhidmat di dalam sektor-sektor terbabit.

“Sebilangan besar daripada mereka (pekerja asing) bekerja dalam sektor yang dilarang seperti perlombongan, bengkel kereta, restoran makanan segera, menjadi nelayan atau pengedar suratkhabar,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Hishammuddin berkata, jawatankuasa Kabinet akan menentukan status pekerja asing tanpa izin ini dalam mesyuaratnya pada 3 Oktober depan.

Katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan permintaan daripada pihak majikan yang memohon agar pekerja asing tanpa izin yang berkhidmat dalam sektor terlarang itu untuk melalui proses perundangan di bawah program 6P.

“Mereka yang merayu kepada Kerajaan bagi tujuan ini perlu diberikan tempoh lanjut untuk memikirkan semula strategi perniagaan daripada aspek sumber manusia,” katanya.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen menerusi program 6P juga telah mengenalpasti bahawa sebilangan daripada pekerja asing tanpa izin ini bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan.

“Walaupun masalah ini telah dikenalpasti sejak sekian lama, ia sukar ditangani kerana faktor penyalahgunaan permit kerja dan pemalsuan dokumen,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain