suria

Kontraktor Rugi RM20 Juta Akibat Kontrak Palsu

KUCHING: Seorang kontraktor Sarawak ditipu RM20 juta oleh satu sindiket yang memalsukan kepala surat sebuah kementerian persekutuan dari Kuala Lumpur untuk kontrak papan iklan di luar negeri ini yang sebenarnya tidak wujud, kata Ketua Polis Negeri Datuk Mortadza Nazarene.

"Kontrak kerja itu yang dikatakan diberikan pada April 2010 telah disiapkan oleh mangsa pada November tahun yang sama dan sebaik siap, beliau menuntut RM20 juta itu tetapi tidak dilayan, dan ini mendorong mangsa memeriksa perkara itu dengan pihak kementerian berkenaan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Sarawak Supt Mohd Firdaus Abdullah, di sini, Selasa.

Mortadza berkata, mangsa terkejut apabila mendapati kementerian tidak tahu menahu mengenai kontrak itu tetapi kepala surat kementerian itu telah dipalsukan, mendorongnya membuat laporan polis bulan ini.

"Kontraktor berkenaan mendakwa surat pemberian kontrak itu adalah daripada ibu pejabat kementerian itu di Kuala Lumpur," katanya dan menurutnya suspek mendakwa mereka mempunyai hubungan baik dengan kementerian itu.

Enggan mendedahkan nama kementerian yang digunakan dalam kepala surat itu, beliau berkata polis telah mengenal pasti suspek dan mereka akan ditahan dalam waktu terdekat.

Mengenai trend kes-kes jenayah perdagangan di Sarawak, beliau berkata sehingga suku ketiga tahun ini, terdapat penurunan sebanyak 10.34 peratus atau 161 laporan dengan sebanyak 1,398 kes jenayah perdagangan dilaporkan berbanding 1,559 laporan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Secara keseluruhannya jumlah kerugian yang dialami mangsa-mangsa bagi tempoh yang sama tahun ini adalah berjumlah RM27 juta berbanding RM30 juta tahun lepas," katanya.

Bagi kes jenayah siber, katanya dari Januari ke 15 Sept tahun ini, sebanyak 252 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4 juta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain