suria

Kerjasama Serantau Sumbang Usaha Tangani Keganasan

KUALA LUMPUR: Kerjasama serantau telah banyak menyumbang kepada usaha menangani ancaman keganasan termasuk dalam kewangan, keselamatan siber, penerbangan, maritim dan keselamatan pengangkutan dan juga pemulihan.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu Datuk Hussein Haniff berkata kesemua ini telah membawa kepada kerjasama erat antara agensi penguatkuasa bagi meningkatkan perkongsian perisikan, membina keupayaan dan penyelidikan yang lebih mendalam bagi negara-negara di rantau ini.

"Asean telah melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan kerjasama memerangi keganasan termasuk bekerja dan berkongsi perisikan dengan rakan-rakan luar.

"Kita berharap untuk meneruskan kerjasama sedia ada dengan rakan-rakan dan juga memperluas kerjasama dengan pusat serantau dan antarabangsa yang lain untuk memerangi keganasan," katanya Simposium Setiausaha Agung: Kerjasama Menangani Keganasan Antarabangsa di New York, Isnin.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini, Selasa.

Bagaimanapun, Hussein berkata banyak usaha perlu dilakukan dan penekanan perlu diberikan kepada faktor yang unik dan sebab-sebab yang tersembunyi yang membawa rakyat di rantau tertentu beralih kepada keganasan dan kegiatan pelampau.

"Kita telah berulang kali mengingatkan perkara ini di peringkat antarabangsa dan mengenal pasti kemiskinan dan kurangnya pendidikan sebagai punca utama.

"Bagaimanapun, setiap rantau atau rantau yang kecil adalah unik. Kita tidak boleh menggunakan satu pendekatan untuk diterimapakai semua pihak tetapi berusaha menjalankan kajian dan penyelidikan di rantau yang berbeza," katanya.

Beliau juga berkata, wujud keperluan bagi menangani faktor-faktor yang unik ini dengan merumuskan langkah menanganinya dan menerapkan langkah sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain