suria

Hasrat Wanita Bercuti Ke Nepal Berakhir Dengan Kemalangan Maut

REMBAU: Hasrat seorang wanita untuk bercuti di Nepal berakhir dengan tragedi selepas beliau dan pemandu teksinya mati dalam kemalangan di Lebuhraya Plus KM 235.4, arah Utara berhampiran dengan plaza tol Pedas-Linggi.

Menurut jurucakap polis trafik, mereka yang terbunuh pada pukul 5.30 pagi tadi dikenali sebagai Leong How Yin 39, dari Bukit Beruang, Melaka, dan pemandu teksi, Azahar Abd Karim, 42 tahun dari Alor Gajah Melaka.

"Kemalangan berlaku apabila teksi yang dipandu Azahar yang sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merempuh sebuah lori kargo yang membawa bekas tong arak.

Hanya beberapa minit sebelum itu, lori terbabit terbalik di lorong memotong selepas terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya," katanya kepada Bernama.

Pemandu lori dan kelindannya gagal dikesan, teksi limo jenis Naza Citra remuk teruk di bahagian hadapan mengakibatkan Azahar meninggal dunia di tempat kejadian dan Leong yang duduk di bahagian belakang teksi itu, mati akibat cedera di kepala, katanya.

Kedua-dua mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Sementara itu suami Leong, Liew Chee Keong, 40-an tiba dari Melaka di tempat kejadian untuk melihat dan mengambil barang-barang mendiang isterinya.

Liew gagal mengesan kesemua dokumen penting termasuk pasport milik isterinya dan sejumlah wang tunai dipercayai telah dilarikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, isterinya dalam perjalanan ke KLIA untuk bercuti di Nepal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain