suria

Faktor Cuaca Sebabkan 30 Peratus Padi Di Wilayah II Tidak Dapat Dituai: Mada

JITRA: Keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang menyebabkan baki 30 peratus padi di Wilayah II Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Jitra masih tidak dapat dituai dan mungkin rosak begitu saja.

Pengurus Wilayah II Mada Jitra Dzulkifly Yaacub berkata 95 peratus daripada padi terbabit juga telah masak sepenuhnya.

"Tetapi memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu, kita tidak dapat menuai kerana keadaan padi yang basah menyukarkan pengilang membuat pemprosesan," katanya kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri di Pejabat Wilayah II Mada Jitra, di sini Selasa.

Wilayah II merupakan wilayah Mada terbesar dengan keluasan 31,000 hektar dan melibatkan sembilan Pertubuhan Peladang Kawasan.

Beliau berkata Mada juga bimbang petani terbabit akan mengalami kerugian apabila padi mereka ditenggelami banjir seperti mana yang berlaku pada Februari lepas.

Sehubungan itu juga, Dzulkifli berkata Mada berharap pesawah menanam padi mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan agensi tersebut bagi mengelakkan padi masak tidak mengikut jadual.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata projek estet padi di wilayah itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peladang kawasan berkenaan.

"Pihak kita menerima permohonan yang banyak dan kita terpaksa membuat pemilihan untuk mereka (peladang) sertai estet padi kerana untuk wilayah ini, kita hanya diperuntukkan sebanyak 1,473 hektar sahaja," katanya.

Katanya beliau gembira kerana langkah kerajaan untuk meningkatkan pendapatan peladang melalui projek estet padi mendapat sambutan baik daripada para peladang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain