suria

Transformasi Tuntut Masyarakat Bergerak Ke Destinasi Baru: Maglin

KUALA LUMPUR: Program transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan memerlukan setiap lapisan masyarakat bergerak, berubah atau berganjak dari satu tempat, keadaan, situasi ke satu destinasi yang baru, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Beliau berkata, transformasi juga menuntut rakyat agar mengubah bentuk, struktur, kaedah pengoperasian dalam mengurus keperluan diri, masyarakat serta negara.

"Secara mudah istilah transformasi adalah dua gabungan perkataan iaitu `trans' dan `formasi' yang memerlukan kita bergerak secara serentak," katanya ketika merasmikan seminar Teater Kebangsaan 2011, di sini, Isnin.

Maglin berkata, sejak istilah transformasi diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009, ia antara perkataan yang paling kerap diutarakan hampir di mana saja, sama ada dalam forum ekonomi, sosial atau pendidikan.

Mengulas mengenai seminar itu, beliau berharap ia dapat membantu menaikkan taraf teater kebangsaan sekali gus menjana lebih banyak peluang serta pendapatan kepada mereka yang terbabit dalam industri tersebut.

"Saya harap dengan seminar ini, kita dapat sama-sama berkongsi serta menimba ilmu dalam mewacanakan beberapa skop yang penting seperti transformasi pasaran teater Malaysia dan transformasi pendidikan teater," katanya.

Seminar yang julung kali diadakan dengan tema "Transformasi Teater: Iluminasi Industri Kreatif" itu bertujuan membincangkan tajuk berkaitan dengan transformasi teater yang menjadi satu persoalan yang perlu diberi perhatian di zaman moden.

Selain itu, seminar juga bagi melihat hala tuju teater dalam masa 10 tahun akan datang serta menyedarkan tentang peranan teater sebagai satu ciri seni persembahan yang penting.

Seminar dua hari mulai semalam dihadiri oleh ahli akademik dan pendidik, ahli dalam industri, pengamal perhubungan awam, penggiat seni serta pengamal media massa.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementeri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain