suria

Tetak Ibu Kandung: Tukang Gunting Minta Hakim Jatuhkan Hukuman Berat

SUNGAI PETANI: Kebiasaannya pesalah jenayah akan memohon hukuman ringan tetapi lain pula berlaku kepada seorang tukang gunting di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin.

Tertuduh K. Pasupathy, 26, bukan sahaja mengaku bersalah atas tuduhan menetak ibu kandungnya, S. Krishnamah, 49, malah meminta Hakim Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Norsalha yang terkejut dengan permintaan itu bagaimanapun meminta jurubahasa menerangkan hukuman terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak membawa hukuman gantung.

Selepas diberi penjelasan, Norsalha menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, Pasupathy didakwa menetak ibunya dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah di rumah No.1739, Lorong 36, Taman Ria, di sini, kira-kira pukul 8 pagi, 6 September lalu.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan sebatan atau kedua-duanya.

Pasupathy, yang tidak diwakili peguam, mengangguk memahami dan mengaku bersalah semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. Norsalha bagaimanapun memberi peluang kepada lelaki itu untuk mengemukakan rayuan sebelum memutuskan hukuman.

Melalui jurubahasa, beliau berkata: "Yang Arif saya memohon hukum gantung sampai mati" dan selepas dijelaskan kesalahan tersebut hanya memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, beliau terdiam seketika.

"Kalau macam itu saya minta hukuman penjara 20 hingga 30 tahun. Hukumlah penjara maksimum sebab saya ada banyak masalah peribadi," katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussin. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain