suria

Saman Bekas Pengerusi MAS Terhadap Portal Malaysian Insider Dalam Proses Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pihak-pihak dalam kes saman RM200 juta yang dikemukakan bekas Pengerusi Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli terhadap portal berita The Malaysian Insider, mahu menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, kata peguam yang mewakili portal berita itu.

Peguam George Miranda berkata demikian selepas beliau dan peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin mengadakan pertemuan dengan Hakim Mahkamah Tinggi Harminder Singh Dhaliwal di dalam kamar.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini. Selepas pertemuan itu, hakim menetapkan 28 Sept untuk pengurusan kes.

Pada 18 Ogos lepas, Tajudin memfailkan saman berjumlah RM200 juta terhadap portal itu berikutan penerbitan artikel yang didakwanya memfitnah beliau.

Beliau menamakan syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd sebagai defendan pertama serta Ketua Pegawai Eksekutif Jahabar Sadiq dan wartawan Shazwan Mustafa Kamal sebagai defendan kedua dan ketiga. Tajudin yang menerajui syarikat penerbangan itu dari 1994 hingga 2001, mendakwa portal berita berkenaan menerbitkan kata-kata fitnah dalam sebuah artikel pada 31 Mei 2011.

Beliau turut mendakwa portal terbabit mengulang beberapa kata-kata fitnah menerusi artikel lain walaupun telah dipohon menerusi surat supaya tidak berbuat demikian, dan pengulangan itu menunjukkan portal terbabit berniat jahat.

Tajudin berkata The Malaysian Insider membalas suratnya dengan penegasan bahawa kata-kata di dalam artikel itu bukan fitnah dan ia mempunyai pelbagai sumber maklumat.

Selain ganti rugi am untuk kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang RM200 juta, Tajudin turut menuntut ganti rugi keterlaluan dan faedah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain