suria

PAS Tak Akan Sokong Usaha Tukar Jalur Gemilang

PETALING JAYA: PAS akan menolak sebarang cadangan untuk menukar bendera rasmi negara Jalur Gemilang dalam apa jua perbincangan dan mesyuarat antara Pakatan Pembangkang.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti tersebut tidak akan menyokong cadangan seumpama itu termasuk sekiranya disuarakan sekutu politik mereka DAP.

Sambil menegaskan perkara berkenaan tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat, beliau turut berharap agar polemik isu tersebut dihentikan segera.

"Isu ini tidak perlu jadi polemik kerana ia tidak akan menjadi dasar Pakatan Rakyat dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun," katanya menerusi laman blog tuanibrahim.blogspot.com di sini, Isnin.

Pendirian berkenaan dinyatakan PAS berikutan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M. Manoharan baru-baru ini yang mencadangkan agar Jalur Gemilang ditukar sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Manoharan dalam akaun Facebook miliknya menyatakan hasrat demikian sambil menolak untuk mengibarkan Jalur Gemilang dalam kawasannya kerana mendakwa bendera itu kelihatan seperti Barisan Nasional.

Bagaimanapun Manoharan dengan segera memohon maaf di laman Facebooknya itu selepas pelbagai pihak mengkritik pandangan yang disuarakannya itu.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata semua rakyat perlu mempertahankan bendera Malaysia sebagai lambang kedaulatan negara.

"Tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara.

"Sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekeh dan dipersendakan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat seharusnya memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Mari kita bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

"Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain