suria

Kementerian Kesihatan Dirayu Segera Bina Hospital

PARIT: Kerajaan sekali lagi dirayu supaya menyegerakan pembinaan Hospital Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar bagi kemudahan hampir 100,000 penduduk termasuk pelajar dua buah universiti di situ.

Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria berkata, selain pelajar Universiti Teknologi Pertronas (UTP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bandar berkenaan juga menempatkan beberapa sekolah berasrama penuh dan pusat latihan belia.

"Penduduk semakin bertambah ekoran pembangunan pesat...sebuah hospital yang lebih besar dan kemudahan lengkap sangat diperlukan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Hospital terdekat iaitu Hospital Changkat Melintang (HCM) yang tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk memandangkan hospital itu hanya menempatkan 50 katil, katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan kelulusan bagi pembinaan hospital baru berkenaan yang dianggarkan berharga kira-kira RM112 juta pada Februari 2008 tetapi ia tertangguh hingga sekarang.

"Penduduk di sekitar daerah ini terpaksa mendapatkan rawatan di HCM yang agak terhad dan semakin sesak manakala kes serius terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Teluk Intan (HTI) atau Hospital Seri Manjung.

"Berdasarkan cadangan asal, projek berkenaan sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun dan kita berharap kerajaan pusat dapat menyegerakan pembinaannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain