Bunuh Pegawai Majlis Daerah: Tiga Ditahan - Semasa | mStar

Bunuh Pegawai Majlis Daerah: Tiga Ditahan

KOTA KINABALU: Polis pada Isnin menahan tiga lelaki, termasuk suspek utama, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pegawai kanan majlis daerah di Lahad Datu semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua lelaki rakyat tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) sebuah bank di kawasan kejadian itu berlaku.

"Polis kini mencari enam lagi suspek untuk membantu siasatan...kesemuanya warga tempatan," katanya pada sidang akhbar mengenai kejadian itu di sini, Isnin.

Beliau berkata polis turut menemui kenderaan Nissan Vanette berwarna biru yang dipercayai digunakan oleh kumpulan itu untuk melarikan diri.

Dalam kejadian itu, Ali Jamal, 47, mati dibelasah sekumpulan lelaki selepas dikatakan menegur mereka kerana melanggar papan tanda dan tembok tepi jalan di hadapan sebuah bank pada pukul 4.30 pagi.

Ali meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian di Hospital Lahad Datu akibat kecederaan parah selepas dipukul dan ditikam di perut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan