suria

Brunei Mahu Kerjasama Dengan Malaysia Dalam Bidang Baru

KULIM: Banyak syarikat Brunei berminat menerokai bidang pelaburan perniagaan baharu dengan Malaysia berbanding tumpuan kepada sektor minyak dan gas ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ia merupakan satu perkembangan yang baik memandangkan di Brunei banyak industri kecil yang berpotensi untuk diterokai.

"Biasanya bila sebut Brunei, kita fikir minyak dan gas sahaja. Sebenarnya banyak lagi industri kecil yang sedang membangun dengan pesat. Mereka, seperti kita juga, tidak menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja...pasaran Brunei agak kecil.

"Mereka kini melihat Asean yang ada penduduk 550 juta orang, ditambah pula kedudukan yang berjiran dengan China dan India, yang mempunyai pasaran yang begitu luas," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya kementeriannya akan membantu dalam memperkenalkan syarikat swasta Malaysia untuk bekerjasama dengan syarikat swasta di Brunei di dalam proses pemadanan perniagaan.

Mukhriz berkata sewaktu beliau mempengerusikan sesi meja bulat di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada 12 Sept lalu, bersama-sama dengan ahli-ahli korporat Brunei, mereka menyatakan minat yang mendalam dalam sektor halal.

"Apa yang mereka minta ialah, kalau boleh, mereka mahu mendapatkan ramuan halal daripada kita untuk diproses di Brunei dan dieksport kembali ke Malaysia dan negara-negara lain di rantau Asean."

"Saya cadangkan supaya syarikat-syarikat Malaysia berhubung dengan pihak swasta di Brunei untuk menerokai peluang-peluang perniagaan seperti ini. Mereka belum ada halal hub tetapi mahu mempelajari dari kita," katanya.

Dalam perjumpaan meja bulat itu, katanya Brunei diwakili syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa syarikat swasta manakala Malaysia lebih banyak menghantar wakil-wakil koridor pembangunan wilayah.

"Kehadiran wakil koridor pembangunan wilayah itu bertrujuan menarik pelaburan ke Malaysia. Brunei memang berminat untuk melabur di koridor-koridor itu. Syarikat swasta di Brunei boleh berhubung secara langsung dengan koridor itu tetapi biasanya mereka mendapatkan maklumat terperinci daripada MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan menjejaskan ekonomi dan kedatangan pelabur asing ke Malaysia.

"Yang mereka pentingkan ialah kestabilan politik. Satu ketika dulu pembangkang berkata pelabur asing takkan datang ke Malaysia selagi kita ada ISA tetapi dalam perjumpaan saya dengan ramai pelabur asing, mereka tidak pernah membangkitkan isu itu dan FDI (pelaburan langsung asing) masih meningkat.

"Jadi isu ISA takkan beri kesan kepada pelabur. Ini hanya perkara dalaman," katanya. Katanya pelabur asing sentiasa melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik berbanding negara lain selain usaha promosi pelaburan dan perdagangan di merata tempat.

"Cabaran sebenar kita adalah untuk mengimbangi antara FDI dengan DDI (Pelaburan Langsung Domestik). Satu ketika dulu, kita ingatkan DDI akan menurun. Bagaimana pun, sebaliknya yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain