suria

Salur Maklumat Benar Kepada Pemimpin Parti:Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semua anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam mengumpul maklumat berkenaan kawasan pilihan raya perlu memberi maklumat benar kepada pemimpin supaya strategi dapat disusun dengan mudah dalam menghadapi pilihan raya kelak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka dinasihatkan tidak memberi maklumat dengan niat hanya 'menyedapkan telinga' pemimpin sahaja kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti dan negara.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengingatkan pemimpin BN agar tidak melaksanakan program 'syok sendiri', seterusnya memberi laporan tidak tepat tentang bacaan politik di sesuatu kawasan sehingga menjejaskan usaha merampas kembali negeri yang dikuasai pembangkang.

"Itu satu kenyataan amat penting, kita tak boleh syok sendiri, ataupun kita dapat laporan separuh masak kerana yang biasanya bercakap nak menyedapkan pemimpin.

"Dia bagi tau semuanya o.k, kadang-kadang bila 'o.k' jadi 'k.o'. Perdana Menteri minta supaya ahli parti yang terlibat secara langsung untuk mengumpulkan maklumat berkenaan, supaya menyampaikan keadaan sebenar parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Ahad.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata BN mempunyai sistem warna kelabu, hitam dan putih dalam mengklasifikasikan kawasan yang mempunyai tahap sokongan kepada parti dan kerajaan yang bergantung kepada maklumat yang dikumpul serta disampaikan.

"Kita ada kategori putih, hitam, kelabu sebagai contoh dalam membuat kategori sama ada kawasan tu elok, tidak elok atau kurang elok. Jika tidak elok, kita beritahu tak elok.

"Maklumat tu akan digunakan untuk mengatur strategi seterusnya. Kita kena bercakap benar dengan diri kita," katanya.

Muhyiddin, pada sidang media yang sama, turut mengumumkan bahawa satu siri taklimat dan penerangan akan diberikan kepada anggota BN di seluruh negara berhubung langkah kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN tidak lama lagi, beliau berkata program berkenaan akan digerakkan dengan turut dibantu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam menjayakan siri ceramah ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain