suria

Penganggur Hadapi Dua Tuduhan Edar Dadah

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas dua pertuduhan mengedar dadah pada 6 Sept lalu.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Noor Muda, 25, didakwa mengedar pil kuda seberat 728 gram di rumahnya yang beralamat di nombor 475, Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini kira-kira 6.15 petang pada 6 Sept lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 21 gram di pekarangan tempat letak kereta pasar raya Giant di sini pada 2.45 petang hari yang sama.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Padang Palas, Kuala Bekah di sini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati bagi kedua-dua tuduhan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatatkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Mahkamah menetapkan 14 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula untuk tuduhan pertama dan 4 Dis depan sebagai sebutan semula bagi tuduhan kedua bagi menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain