suria

MB Selangor Belum Dapat Laporan Peletakan Jawatan Dua Pegawai UNISEL

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau masih belum mendapat laporan berhubung peletakan jawatan dua daripada tiga pegawai Universiti Selangor (UNISEL) yang menjadi kontroversi dalam isu peletakan jawatan Naib Canselor universiti itu Datuk Dr Rosti Saruwono baru-baru ini.

Beliau berkata segala penjelasan atau penerangan berhubung peletakan jawatan dua pegawai berkenaan akan diberikan esok (Isnin) atau Selasa ini selepas beliau mendapat laporan daripada pemangku Naib Canselor UNISEL Profesor Dr Anuar Ahmad.

"(Sehingga kini) saya belum dimaklumkan, apapun ada peraturan perjawatan dan seterusnya...," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Selangor yang disempurnakan oleh Tengku Panglima Selangor Tengku Sulaiman Shah di Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini Ahad.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini berhubung peletakan jawatan bekas Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah pada 9 Sept lepas.

Sebelum ini, kedua-duanya telah ditukar jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Perniagaan selepas kontroversi peletakan jawatan secara mengejut oleh Dr Rosti pada 3 Ogos lepas.

Dr Anuar dilantik sebagai pemangku Naib Canselor Unisel selepas jawatan berkenaan dikosongkan Dr Rosti.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau telah menerima laporan mengenai siasatan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lepas, Abdul Khalid berkata beliau akan menerimanya esok (Isnin).

Pada 3 Ogos lepas, Jais melakukan pemeriksaan ke atas DUMC selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis yang dianjurkan gereja itu serta ada maklumat berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka yang beragama Islam di gereja berkenaan.

Bagaimanapun, pihak penganjur yang dikenali sebagai Komuniti Harapan mendakwa mereka hanya menganjurkan majlis kesyukuran atau 'thanksgiving' di gereja itu.

Sehubungan itu Jais telah memanggil seramai 12 individu beragama Islam yang hadir pada majlis anjuran DUMC itu untuk diambil keterangan bagi menyiasat dakwaan berlakunya kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis tersebut.

Isu tersebut menjadi kecoh apabila Abdul Khalid campur tangan dan menggesa JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung pemeriksaan yang dilakukan pihak penguat kuasa jabatan agama itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain