suria

Letupan Bom: Tiga rakyat Malaysia Antara Empat Yang Maut

KOTA BARU: Seorang kanak-kanak antara tiga rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian tiga letupan bom di Sungai Golok, Selatan Thailand malam Sabtu.

Mereka ialah Wong Heng Yep, 65, dan cucunya Wong Kai Sen, 3, serta Fong Too Keh, 45.

Wong dan cucunya berasal dari Jalan Hamzah di sini manakala Fong berasal dari Kuantan, Pahang.

Wong dan cucu itu difahamkan berada di Sungai Golok bersama keluarganya sejak petang semalam manakala Fong datang bersama abang dan rakannya.

Menurut laporan pihak berkuasa Thailand, seorang lagi yang terbunuh dilaporkan sebagai seorang sukarelawan rakyat negara itu yang berusia 38 tahun.

Letupan berkenaan turut mencederakan kira-kira 60 orang lain termasuk 19 rakyat Malaysia manakala dua rakyat negara ini dilaporkan dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Yala.

Tiga letupan bom itu dilaporkan berlaku di kawasan yang sering dijadikan tempat hiburan di sekitar Jalan Charoen Khet, di bandar yang terkenal dengan industri hiburan itu.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar ketika ditemui pemberita Malaysia berkata letupan pertama berlaku pada 7.30 malam waktu Malaysia apabila sebuah motosikal meletup di hadapan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew yang menyebabkan ramai orang awam tercedera.

Katanya beberapa minit kemudian, sebutir bom yang diletakkan pada motosikal turut meletup di sebuah hotel berhampiran yang membunuh Fong dan lelaki rakyat Thailand itu ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

Ketika suasana panik tercetus, satu lagi letupan yang kuat telah menggegarkan kawasan medan selera berhampiran yang mengorbankan Wong dan cucunya.

"Bom itu diletakkan dalam sebuah kenderaan yang turut merosakkan hotel berdekatan dan ramai yang cedera dan parah termasuk rakyat Malaysia," katanya.

Tinjauan mendapati kawasan berkenaan kini lengang dengan kawalan ketat pihak berkuasa, yang sedang menjalankan siasatan rapi.

Laporan juga menyebut kejadian itu mungkin berkaitan dengan perbuatan pihak pemisah atau mereka yang marah apabila pihak berkuasa menjalankan operasi mencegah dadah dan bom berkenaan juga dipercayai merupakan bom jangka.

Ketua Polis Sungai Golok Kolonel Chakaporn Thenthong berkata bagaimanapun yakin siri letupan bom itu dilakukan sindiket dadah yang berang dengan tindakan pihak berkuasa itu.

"Setakat ini, kami melaporkan lebih 60 orang lagi cedera termasuk 19 rakyat Malaysia yang berkunjung ke Sungai Golok untuk makan dan berhibur.

"Dua anggota polis, empat tentera dan tiga anggota sukarelawan Thailand turut cedera dan kini dirawat di Hospital Sungai Golok," katanya.

Pihak berkuasa itu sedang berusaha mengesan suspek melalui rakaman litar tertutup yang mungkin terdapat di sekitar kawasan kejadian.

Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata tiga orang termasuk dua rakyat Malaysia terbunuh dan 62 orang cedera apabila sekurang-kurangnya tiga bom meletup di Sungai Golok, wilayah Narathiwat, Selatan Thailand Sabtu.

Katanya menurut satu laporan dari Kedutaan Malaysia di Bangkok hari ini, letupan pertama berlaku pada 6.40 petang di tepi jalan berhampiran bangunan Persatuan Teo Chew, dan bom yang lain meletup di luar Merlin Hotel dan persimpangan berhampiran pejabat Telekom Thailand di Sungai Golok.

Bom berhampiran Merlin Hotel diletakkan di dalam kereta manakala dua lagi lokasi, ia diletakkan pada motosikal dan dipercayai kesemua bom itu diletupkan secara elektronik, kata kenyataan tersebut.

"Kesimpulan umum serangan itu menurut pihak berkuasa keselamatan di Narathiwat dilakukan oleh kumpulan pemberontak Selatan Thailand.

"Tetapi polis tidak menafikan serangan balas itu dilakukan oleh pengedar dadah yang terjejas oleh serbuan baru-baru ini oleh pihak polis ke atas kumpulan itu yang membawa kepada penemuan 14,000 pil amfetamina," kata kenyataan itu.

Wisma Putra akan terus memantau perkembangan itu melalui kedutaannya dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla yang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung insiden itu, kata kenyataan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain