suria

Calon PMR Bersama Seorang Rakan Maut Dalam Kemalangan

ALOR SETAR: Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) bersama rakannya maut dalam satu kemalangan awal pagi Ahad selepas dilanggar sebuah jip semasa membuat pusingan U di Batu 2 Jalan Langgar di sini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, DSP Mohd Sham Abdullah berkata mangsa meninggal dunia di HSB pukul 3 pagi.

Kejadian itu berlaku pukul 1.15 pagi semasa mangsa Mohd Fatullah Yassin, 15, bersama rakannya dikenali sebagai Mohd Shahman, 16, yang menunggang motosikal, sedang dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Taman Pulai Jaya di sini.

Mohd Fatullah adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar manakala Mohd Shahman pula pelajar Sekolah Menengah Teknik Jalan Stadium di sini.

Abang Mohd Fatullah, Mohd Faqeh Yassin, 22, berkata adiknya ke rumah jiran selepas pulang dari rumah bapa saudara mereka di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia di Kepala Batas dekat sini.

Bercakap kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, beliau berkata keluarganya tidak tahu bila Fatullah keluar dari rumah jirannya untuk pergi mengambil Shahman.

Katanya mayat adiknya akan dibawa ke kampung mereka di Parit, Perak untuk dikebumikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain