suria

Bajet 2012 Ambil Kira Usaha Atasi Kenaikan Kos Sara Hidup

IPOH: Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dalam penyediaan bajet 2012 dalam usaha mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata peningkatan kos sara hidup itu berpunca daripada keadaan global yang tidak stabil di mana dalam konteks bekalan makanan, ia didapati tidak ada keseimbangan dalam bekalan dan permintaan.

"Peningkatan ini juga disumbang oleh pertambahan penduduk dunia (dan) bagi mengatasi masalah ini di Malaysia, kerajaan telah memasukkan perkara ini di dalam agenda negara dan merupakan antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Di dalam konteks negara kita, kos sara hidup ini melibatkan bekalan makanan, perumahan dan pengangkutan awam.

Inisiatif kerajaan adalah mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi perkara ini yang akan dibentangkan di dalam bajet tahun 2012," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rancangan Perumahan Tersusun Jelapang Baru di sini, Ahad.

Ahmad Husni berkata terdapat beberapa rancangan pemulihan yang melibatkan pelan jangka pendek dan pelan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jelasnya, bagi pelan jangka pendek ia akan menyelesaikan masalah-masalah yang mampu diselesaikan segera, manakala pelan jangka panjang membabitkan pengukuhan keseluruhan rantaian.

"Sebagai contoh, di dalam soal sistem pengangkutan, kerajaan telah meluluskan pembinaan MY Rapid Transit(MRT) bagi penduduk di Wilayah Persekutuan," katanya.

Bagi penduduk di luar Kuala Lumpur pula, kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membuat kajian menyeluruh dan membentangkan kepada kabinet, katanya.

Katanya, kajian tersebut turut disertakan kaedah untuk meningkatkan tahap keberkesanan sistem sedia ada. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain