suria

Sorotan Mingguan

SUASANA hening awal pagi di Seksyen 11, Shah Alam pada 26 April tahun lalu dikejutkan dengan bunyi peluru bertali arus yang dilepaskan ke arah sebuah kereta proton lswara berwarna putih.

Pelajar kolej, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, yang sedang menyiapkan tugasan di bahagian atas rumahnya antara yang mendengar bunyi itu sebelum ia diakhiri dengan bunyi dentuman objek berlanggar.

Sifat ingin tahu yang membuak-buak menyebabkan lelaki bertubuh sederhana itu meninggalkan tugasan yang sedang dilakukan dan dari belakang pagar rumah, dia melihat satu mayat tertiarap di kereta Proton Iswara terbabit sambil dikawal oleh dua kereta peronda polis (MPV).

Mayat tersebut adalah seorang remaja berusia 15 tahun, AminulRasyid Amzah yang merupakan adik kepada rakannya, Muhammad Shahreeman yang tinggal beberapa meter dari rumahnya.

Kematian AminulRasyid menggemparkan negara bukan sahaja disebabkan dia ditembak oleh anggota polis, tetapi juga faktor usianya disamping kejadian yang berlanjutan daripada peristiwa tersebut.

Dalam keadaan keluarga arwah masih bersedih dan terkejut dengan kehilangan yang tidak diduga, muncul pula kata-kata mengaitkan arwah sebagai seorang penjenayah.

Kasih sayang seorang ibu menyebabkan Norsiah Mohammad, 62, memulakan perjuangan membersihkan nama anak bongsunya, walaupun ada yang mempersoalkan bagaimana arwah boleh berada di luar rumah pada waktu sedemikian, apatah lagi memandu kereta - sesuatu yang tidak patut dilakukan dan satu kesalahan di bawah undang-undang.

Apapun, kematian telah berlaku dan tidak lama selepas itu, seorang anggota polis berpangkat Koperal, Jenain Subi, 49, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan mengakibatkan kematian AminulRasyid yang didakwa dilakukan pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam.

Dia yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut pada 10 Mei 2010 mula dibicarakan pada 21 Oktober 2010 dan akhirnya tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada 15 September lalu, telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama lima tahun bagi kesalahan tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Latifah Mohd Tahar yang mendengar keterangan 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk Jenain yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Berdasarkan keterangan, kereta Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 - yang dipandu oleh AminulRasyid - adalah kereta yang digunakan oleh kakaknya, Tuty Shaniza, 36, yang menetap di Klang, tetapi secara kebetulan datang untuk bermalam di rumah ibunya pada hari tersebut.

Siapa boleh melupakan bagaimana wanita itu mengesat air matanya, selepas gagal menahan perasaan sedih apabila diminta untuk mengecam sekeping gambar arwah pada perbicaraan.

Tuty Shaniza juga tidak menyangka malam tersebut adalah malam terakhir untuk bersama arwah yang meminta agar dimasakkan nasi goreng.

Kali terakhir Tuty Shaniza melihat adik kesayangannya, arwah sedang menyiapkan kerja sekolahnya di meja makan, manakala dia pula sedang naik untuk tidur di bahagian tingkat dua rumah tersebut.

Lebih memilukan, kereta terbabit terlanggar tembok sebuah rumah yang terletak hanya beberapa meter dari rumah arwah dan Tuty dapat melihat bagaimana kereta terbabit berada dalam keadaan terjungkit, namun tidak dapat mengesahkan kehilangan adiknya kerana pertanyaannya tidak dijawab oleh anggota polis yang berkawal di situ.

Segalanya hanya terjawab pada pukul 3 petang, hari yang sama apabila Tuty Shaniza diminta untuk membuat pengecaman terhadap jenazah arwah yang berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Satu perkara yang pasti, Tuty Shaniza mengakui dia tidak boleh memastikan jika arwah tidak pernah mempunyai masalah displin kerana perkara itu tidak pernah sampai ke pengetahuannya disamping dia sendiri tidak pernah melihat arwah memandu kereta.

Itu berlainan dengan keterangan dua kawan arwah, Mohd Zubir Salleh dan Mohd Azamuddin Omar kedua-duanya berusia 15 tahun, yang pernah beberapa kali melihat arwah memandu kereta. Mohd Zubir juga pada keterangannya secara bersumpah mengakui dia juga boleh memandu.

Mohd Azamuddin yang turut sama berada di dalam kereta itu pada hari kejadian, juga memberitahu arwah yang belajar memandu daripada seorang rakan telah mengajaknya untuk melepak di sebuah restoran berhampiran rumah arwah pada malam tersebut.

Dia yang curi-curi untuk keluar juga menceritakan bagaimana mereka ke Seksyen 7, Shah Alam untuk membantu seorang rakan, sebelum kereta yang dipandu arwah bergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkan mereka dikejar oleh beberapa penunggang motosikal.

Semasa cuba 'menyelamatkan' diri, kereta arwah kemudiannya berlanggar pula dengan sebuah motosikal terbabit menyebabkan dia semakin takut, apatah lagi sebuah kereta MPV mula mengejar.

Kata Mohd Azamuddin, pada waktu itu AminulRasyid dalam ketakutan dan hanya mahu berjumpa dengan ibunya, tetapi perkara itu tidak berlaku dan dia sendiri merasai satu lubang peluru di belakang kepala arwah selepas mereka terlanggar tembok tersebut. Jenain pula dalam keterangannya memberitahu, arwah melakukan pelbagai kesalahan trafik, seperti memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya, melanggar lampu isyarat pada malam itu dan dia hanya bertindak kepada hebahan yang diterima untuk membantu menghentikan kereta Iswara itu.

Katanya lagi, semasa itu dia hanya menarik picu senjata sub machine gun HK MP5 yang bertransisi automatik itu sekali sahaja dan semua tembakan diarahkan ke bahagian bawah kereta. Dia juga mengakui tidak mengetahui bahawa sebanyak 21 das tembakan telah dilepaskan pada hari kejadian.

Kejadian yang menimpa AminulRasyid mengundang pelbagai reaksi, termasuk ada yang menuding jari menyalahkan Jenain - yang pada hemat penulis mungkin dia sendiri tidak menyangkakan bahawa yang memandu adalah seorang remaja berusia 15 tahun kerana perkara itu tidak boleh ditentukan dengan hanya melihat dari bahagian belakang kereta.

Mohd Azamuddin yang pada keterangannya mengakui dirinya dikongkong oleh ayahnya daripada keluar malam mendapat pengajaran yang paling bermakna dalam hidupnya kerana nyawanya juga mungkin boleh berakhir pada awal pagi itu.

Secara peribadi, penulis merasakan kejadian itu juga menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa untuk mengambil tahu setiap pergerakan anak-anak muda, kerana ada masanya mereka melakukan perkara yang diluar dugaan kerana kita telah memasuki era di mana cabaran untuk membesarkan remaja semakin bertambah.

Artikel Berikut

Artikel Lain