suria

Perkhidmatan Tren KTMB Kembali Beroperasi

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) ke laluan utara yang sebelum ini tergendala sejak Rabu lepas akibat kerosakan pada struktur landasan antara stesen Sungai Buloh-Rawang di KM366.523, kembali pulih seperti biasa pukul 9.25 pagi, Sabtu.

Unit Komunikasi Korporat KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerja-kerja membaik pulih landasan telah siap sepenuhnya pada pukul 9 pagi ini dan serentak dengan itu, tenaga elektrik bagi laluan tersebut kembali dibekalkan pada pukul 9.20 pagi.

"Dengan perkembangan terbaru ini, kesemua perkhidmatan tren meliputi Komuter, ETS, Intercity dan Kargo telah kembali beroperasi seperti dijadualkan.

"Walau bagaimanapun, kelewatan perjalanan antara lima sehingga 10 minit dijangka berlaku disebabkan tren perlu diperlahankan di kawasan yang baru dibaik pulih," kata KTMB.

KTMB turut memohon maaf di atas kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh para pengguna perkhidmatan tren sepanjang tempoh kerja-kerja membaikpulih dilaksanakan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 1-300-88-5862 dari pukul 9 pagi sehingga 10 malam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain