suria

Muhyiddin Tiba Di P.Pinang Untuk Lawatan Kerja Sehari

BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat sini, hari ini bagi memulakan lawatan kerja sehari di Pulau Pinang.

Beliau yang mempunyai acara padat di kawasan Seberang Perai sepanjang hari disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri ketika tiba pada pukul 8 pagi.

Beliau akan mengadakan lawatan mesranya ke kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan kemudian mengadakan dialog dengan para peniaga di sana sebelum melawat projek landasan kereta api berkembar dan menghadiri majlis Sarapan 1Malaysia di Permatang Berangan, Tasek Gelugor.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya melawat kawasan Parlimen Permatang Pauh bagi menghadiri perjumpaaan khas bersama guru-guru agama dan Sekolah Agama Rakyat dari seluruh negeri di Universiti Teknologi MARA.

Pada tengah hari, Muhyiddin akan melawat kawasan Parlimen Bukit Mertajam dengan menghadiri majlis Jamuan Raya 1Malaysia di Dataran Perda dan melawat tapak pemindahan mangsa banjir di Kampung Manggis. Beliau kemudiannya akan melawat kawasan Parlimen Nibong Tebal dan menghadiri majlis Jamuan Hari Raya 1Malaysia di Sungai Acheh serta bertemu penduduk di kawasan itu.

Muhyiddin mengakhiri lawatannya dengan melawat kawasan Parlimen Batu Kawan bagi menyempurnakan majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil di Bukit Tambun dan berucap untuk penduduk di kawasan parlimen itu.

Kecuali parlimen Tasek Gelugor, kesemua kawasan parlimen lain yang dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri itu kini diwakili oleh parti-parti pembangkang dan beliau dijangka berlepas pulang ke ibu negara pada lewat petang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain