suria

Pengamal Media Setuju Bentuk Majlis Akhbar M’sia

PUTRAJAYA: Boleh dikatakan kesemua penerbit akhbar dan majalah utama negara telah memberikan persetujuan dasar untuk membentuk Majlis Akhbar Malaysia dalam usaha mengawal selia sendiri industri ini.

Persetujuan itu dicapai selepas majlis dialog yang diadakan di antara pengarang-pengarang kanan akhbar dan majalah utama negara dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam di sini pagi Khamis.

Keputusan ini juga bermakna, satu akta baru perlu dibentuk bagi tujuan mengawal selia industri media selepas ini.

Para wakil media pada sesi dialog itu juga bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu yang akan bertanggungjawab membentuk garispanduan, syor-syor baru serta langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengenalpasti peranan yang akan dimainkan oleh Majlis Akhbar ini nanti sebagai badan penyelia industri media di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, pembentukan majlis berkenaan adalah tepat pada masanya memandangkan perubahan pada lanskap semasa media ekoran kemunculan media baru serta media dalam talian.

Beliau juga berpendapat, organisasi media harus dibenarkan beroperasi secara autonomi dan bebas daripada sebarang campur tangan kerajaan pada masa hadapan.

Kepada langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghapuskan amalan memperbaharui lesen atau permit penerbitan tahunan akhbar sebagaimana yang diamalkan sekarang, Chun Wai berkata, langkah itu sudah sememangnya dialu-alukan oleh semua penerbit dan pengamal media sebagai langkah yang kena pada masanya.

“Malah kerajaan juga wajar melihat semula akan kesesuaian Akta Penerbitan dan Media Cetak 1984 yang telah menjadi satu akta yang ketinggalan zaman pada era digital hari ini,” ujar Chun Wai.

Wartawan veteran yang juga Pengarang Perunding The Sun, Zainon Ahmad menyatakan kegembiraannya di atas persetujuan semua penerbit akhbar untuk membentuk Majlis Akhbar Malaysia yang menurut pandangannya patut dibentuk sejak dahulu lagi.

Tanpa majlis seperti ini, katanya, adalah sukar untuk para pengamal media menyaksikan pengaruh kerajaan ke atas akhbar-akhbar mengendur.

Penasihat Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali pula berkata, sudah tiba masanya untuk para pengamal media mengurus selia industri mereka secara bebas tanpa sebarang pengaruh daripada kerajaan.

Menurut beliau, beberapa buah negara telah pun membuktikan pembangunan industri media cetak telah menjadi lebih baik selepas kewujudan sebuah majlis yang mengawal selia sendiri aktiviti mereka dan bukannya kerajaan.

Diawal majlis dialog tersebut, Mahmood dalam ucapan ringkasnya berkata, sebarang langkah untuk membentuk sebuah majlis akhbar kini terserah sepenuhnya di tangan para pengamal media.

Ia katanya, adalah selaras dengan permintaan para pengamal media sendiri yang ingin melihat pihak kerajaan memberi ruang yang lebih luas kepada mereka untuk menentukan masa depan industri itu tanpa campur tangan kerajaan.

Dan sebagai langkah pertama ke arah itu, katanya, pihak kementerian hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk membawa semua pengamal media ke satu meja untuk membincang, membentuk dan menguruskan sendiri sebuah majlis atau badan yang berkuasa membentuk perjalanan industri berkenaan.

Malah Mahmood memberi jaminan bahawa pihak kementerian tidak akan sama sekali campur tangan atau terlibat dalam pembentukan majlis berkenaan.

Sebaliknya, ia menyerahkan sepenuhnya kepada pengamal media itu sendiri untuk menentukan corak dan masa depan, bidang tugas, kuasa dan keahlian majlis akhbar tersebut.

“Kita juga akan membantu majlis yang akan dibentuk itu nanti dalam menyediakan kertas kabinet bagi membolehkan ia dibawa ke peringkat yang lebih tinggi tetapi segala input dan juga syor-syor terserahlah kepada saudara-saudari sekelian untuk menentukannya.

“Kerajaan tidak akan campurtangan malah kerajaan ingin melihat pihak media sendiri memperkenalkan apa jua langkah yang perlu diambil dalam menyediakan garispanduan yang bakal diperkenalkan di bawah majlis itu nanti,” ujar Mahmood.

Artikel Berikut

Artikel Lain