Pelbagai Pihak Anggap Pemansuhan ISA Wajar, Relevan - Semasa | mStar

Pelbagai Pihak Anggap Pemansuhan ISA Wajar, Relevan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengalu-alukan langkah kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melihatnya sebagai satu perubahan besar dalam undang-undang negara serta relevan dengan situasi keselamatan negara pada masa kini.

Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Mohd Hanafiah Abdul Manap berkata keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memansuhkan akta itu adalah tepat dan semua pihak seharusnya menyokong keputusan itu.

"Keputusan itu adalah tindakan yang wajar...mungkin ia satu keputusan yang terbaik dengan menggantikan akta itu dengan akta yang lain dalam langkah menangani keselamatan dan keamanan negara pada masa kini.

"Jika kita teliti akta ISA itu pun lama digunakan bagi menangani kegiatan subversif di negara ini dan jika (pemansuhan) ini dilihat sesuai serta kena pada keadaannya..kerana sebelum ini pun ada pihak yang mempersoalkan ketidakwajaran akta ISA," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Bagi bekas Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Rosli Abdul Rahman pula berkata tindakan kerajaan menggubal dua undang-undang baru bagi menggantikan ISA adalah keputusan bersama dan polis hanya bertanggungjawab sebagai pasukan perlaksana.

Katanya keputusan itu bukan hanya dibuat mengikut pandangan Perdana Menteri semata-mata tetapi juga hasil perbincangan dengan pakar perundangan.

"Jika akta baru yang digubal sesuai, ia akan terus digunapakai dan jika tidak mungkin kerajaan akan guna akta yang sebelum ini... kita sebagai rakyat harus memberi sokongan dan lihat keberkesanan akta itu dahulu sebelum membuat sebarang penilaian," katanya.

Najib dalam Perutusan Khas Hari Malaysia malam tadi mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam berkata pemansuhan akta ISA merupakan satu keputusan yang bukan sahaja mengejutkan rakyat negara ini malah masyarakat antarabangsa.

Katanya, langkah itu membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sememangnya mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada hak asasi manusia.

Subramaniam yang turut terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan pemansuhan itu sejak dua tahun lepas berkata, pelbagai pihak harus yakin bahawa dua undang-undang baru yang akan digubal bagi mengantikan ISA dapat mengekang perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah.

"Sebarang keputusan kerajaan sudah pasti akan membawa Malaysia ke tahap kebebasan yang bertanggungjawab," katanya.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, keputusan untuk memansuhkan ISA adalah satu langkah progresif dan boleh membantu meliberalisasikan negara.

"Sebenarnya, saya rasa akta itu (ISA) sudah ketinggalan zaman. Keadaan semasa ia digubal berbeza dengan keadaan kita sekarang...dan memang tepat masa ia dimansuhkan," katanya.

Menurut Lee, tindakan berani kerajaan itu juga dapat mengelak ISA daripada terus dijadikan modal politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, pihaknya mengalu-alukan serta menyambut baik pemansuhan semua akta darurat yang baginya tidak lagi relevan.

"Namun Perkasa mengambil sikap untuk melihat undang-undang baru yang diperkenalkan...bagi Perkasa jangan akhirnya seperti pepatah keris makan tuan, kata Ibrahim.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut menganggap pemansuhan akta ISA merupakan keputusan berani serta bijak yang dibuat oleh kepimpinan di bawah Perdana Menteri.

Mereka berkata langkah itu menunjukkan kerajaan semakin yakin pada kematangan rakyat Malaysia dan tidak lagi perlu bergantung kepada akta-akta yang tidak relevan dengan keadaan semasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Peluang Melancong Dengan Hanya Beli Mi

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain