suria

Noh Omar Sambut Baik Langkah Jais Tidak Beri Tauliah Ceramah Kepada Ahli Politik

KLANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyambut baik langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak lagi memberi tauliah kepada ahli politik untuk berceramah di surau dan masjid, bagi menjamin perpaduan dan imej agama Islam.

Beliau berkata, jika ahli-ahli politik dibenar memberi ceramah agama, ia mungkin boleh mencetuskan pergaduhan dan perkara yang tidak diingini.

"Masjid dan surau adalah tempat untuk umat Islam bukan untuk ahli atau parti politik tertentu," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Anggota Dewan Undangan Negeri Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil di Kapar di sini, Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Jais, Marzuki Hussin pada Khamis, bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi surat bertarikh 22 Jun lalu yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, tidak membenarkan ahli-ahli politik memberi ceramah agama di semua masjid dan surau di Selangor.

Marzuki juga berkata, mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan tidak dibenarkan memberi ceramah agama. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain