suria

Mapim Minta Kerajaan Tolak Cadangan Teruskan PPSMI

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta kerajaan supaya tidak tunduk kepada golongan yang masih mempertikaikan keputusan memansuhkan pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata menukar keputusan dan tunduk kepada desakan golongan yang kurang arif tentang soal bahasa dan implikasinya kepada negara akan mengakibatkan kredibiliti kerajaan dipersoalkan oleh rakyat.

"Sehubungan itu kerajaan hendaklah dengan tegas menolak saranan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) supaya PPSMI diteruskan berikutan dakwaan kajiannya dikatakan menunjukkan lebih 54 peratus responden dari 33 buah sekolah di seluruh negara menyokong PPSMI dikekalkan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mohd Azmi berkata Mapim berpendirian bahawa keputusan untuk meneruskan PPSMI tidak boleh bersandar kepada penemuan JMM kerana perbahasan ilmiah daripada golongan ahli ilmuan dan pakar bahasa berjaya melihat secara mendalam kesan PPSMI ke atas pelajar Melayu terutama di kawasan luar bandar.

Malah katanya, implikasi budaya dan jati diri bangsa sudah dibahas secara mendalam sebagai akibat daripada pelaksanaan PPSMI.

Beliau berkata kemajuan atau kemunduran sesebuah negara bukan bergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya berdasarkan kekuatan rakyatnya menguasai ilmu melalui bahasanya sendiri seperti Jepun, Perancis, Korea dan banyak negara di Eropah.

"Alasan dangkal ini yang masih terus dipertahankan menunjukkan pihak yang ghairah menolak keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri sekaligus menjadi insan terjajah yang berkekalan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain