suria

KPN Akan Jumpa Peguam Negara Kemuka Pandangan Bagi Kaji Semula Akta Polis

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan bertemu dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bagi memberi pandangan terhadap kajian semula ke atas Seksyen 27, Akta Polis 1967 berhubung kebebasan berhimpun.

Beliau berkata pandangan yang akan disampaikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi aspek bagaimana hendak mengimbangkan kesejahteraan, hak bersuara dan hak berkumpul di kalangan rakyat.

"Perkara ini adalah untuk kepentingan rakyat supaya keamanan dapat terus dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan serentak Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini, Jumaat.

Semalam Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27, Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Perdana Menteri berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Ismail berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri malam tadi menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk terus melangkah ke hadapan dan dibuat demi kepentingan rakyat.

"Saya lihat (kajian semula) undang-undang lama ini kita perakukan juga...setuju kerana sudah lapuk," katanya.

Tegasnya, PDRM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat tidak tergugat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain