suria

Baiki Segera Rumah Peneroka Felda Yang Uzur - Mohd Isa

TAWAU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengarahkan Unit Perumahan agensi itu menyegerakan kerja membaik pulih rumah peneroka yang sudah uzur.

Beliau berkata pada masa kini terdapat kira-kira 2,000 permohonan berkaitan pembaikan rumah daripada peneroka Felda di seluruh negara dan sedang dalam proses.

"Dalam mesyuarat baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersetuju agar Unit Perumahan Felda mempercepatkan proses permohonan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan pegawai Felda sempena lawatannya ke kompleks Felda Umas di sini.

Mohd Isa berkata setakat ini Felda memperuntukan sebanyak RM650 juta untuk membaik pulih kira-kira 23,000 rumah peneroka Felda di seluruh negara meliputi Felda di kawasan Sabah.

Katanya dalam soal kebajikan, termasuk daripada aspek bantuan kemudahan pembaikan rumah, tidak wujud layanan berbeza yang diberi sama ada kepada peneroka Felda di Sabah ataupun di Semenanjung.

Terdahulu Pengurus Besar Felda Palm Industries Sdn Bhd (FPISB), Hamdan Ismail berkata terdapat 14 Syarikat Kumpulan Felda beroperasi di Sabah dan sembilan daripadanya beroperasi di Tawau manakala selebihnya di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Felda Kalabakan dan Umas meliputi kawasan seluas 10,419.14 hektar dengan 7,400 penduduk. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain