suria

Tun Mahathir Mahu Kerajaan Laksanakan Peranan Tarik Usahawan Swasta Tempatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus melaksanakan peranan dalam menarik lebih banyak usahawan swasta tempatan dengan menyediakan kepada mereka insentif dan manfaat yang sama seperti yang diberi kepada pelabur asing.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada pelabur asing, sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada sektor swasta yang semakin berkembang di negara ini.

Hakikatnya, beliau berkata daripada segi penarikan pelabur asing, Malaysia telah pun kalah kepada negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos yang menawarkan kos buruh yang rendah.

Beliau berkata demikian sebelum melancarkan edisi kelima buku direktori Malaysia 1000 yang diterbitkan dengan kerjasama Basis, Bernama dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini Rabu.

Dr Mahathir berkata pelabur asing meraih manfaat daripada pengecualian cukai selama 10 tahun dan subsidi air serta elektrik, bagaimanapun itu tidak membawa apa-apa kerugian kepada negara.

"Kita tidak kisah, (kerana) dalam masa yang sama mereka memberi pekerjaan kepada penduduk negara ini dan masyarakat negara ini turut dapat mempelajari teknologi mereka," katanya.

Selanjutnya, beliau berkata sektor swasta seharusnya meneroka peluang semasa ketidaktentuan global ini dan meraih manfaat terutamanya daripada perniagaan kecil dan sederhana di seluruh dunia.

"SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) di negara-negara maju mempunyai keunikan mereka sendiri terutamanya dalam bidang teknologi, namun disebabkan kekurangan keupayaan dan pengetahuan, mereka sukar untuk hidup dan inilah peluang untuk sektor swasta membeli mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sektor swasta perlu mengenal pasti golongan ini dan membawa mereka ke Malaysia untuk menjana pendapatan kepada negara.

Beliau mencadangkan sektor swasta tempatan supaya meninjau ke United Kingdom dan Jepun sebagai permulaan.

Dr Mahathir berkata sektor swasta sangat penting bagi pertumbuhan ekonomi negara dan tanpa mereka, sesebuah kerajaan itu akan gagal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain