suria

Proton Serah Lapan Kereta Elektrik Kepada Kerajaan

PUTRAJAYA:Proton menyerahkan kenderaan elektrik (EV) fasa pertama kepada kerajaan untuk pandu uji sebelum dikeluarkan kepada umum dalam tempoh dua tahun.

Kenderaan tersebut meliputi tiga model Saga EC dan lima Exora REEV (kenderaan elektrik penambah jarak) yang akan digunakan oleh Jabatan Perdana Menteri dan empat kementerian lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kenderaan itu daripada Pengerusi Proton Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh di pejabat Perdana Menteri di sini, Rabu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Penasihat Proton.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kenderaan itu akan dipasarkan kepada umum pada 2013.

"Walaupun kami begitu teruja mengenai EV, masih banyak ujian dan penilaian yang perlu dilakukan.

"Kami akan menyediakan lebih 200 buah EV dan REEV kepada kerajaan dalam tempoh setahun," katanya.

Beliau berkata, Proton dijangka menerima banyak maklum balas dalam tempoh fasa tamat pandu uji dan penilaian kenderaan itu.

Kenderaan EV dianggarkan berharga di antara RM70,000 dan RM100,000.

"Harga kenderaan itu 30% atau 40% lebih mahal daripada kenderaan konvensional tetapi pengguna mampu mendapat penjimatan dari segi minyak dan cukai jalan," kata Syed Zainal.

Katanya, Exora REEV dengan tangki penuh minyak petrol boleh melakukan perjalanan melebihi 700km manakala Saga EV, 130km sebelum melakukan pengisian semula.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada Rabu, Proton turut menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan-kenderaan tersebut di premis Pejabat Perdana Menteri serta keempat-empat kementerian yang terlibat.

"Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu-pemandu kenderaan terbabit yang akan dikenal pasti dari pejabat Perdana Menteri dan keempat-empat kementerian tersebut," kata kenyataan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain